Aliran modal antarabangsa telah meningkat dengan banyak dengan kadar pelaburan langsung asing (FDI) meningkat tujuh kali ganda dari 1970 hingga 1990-an. Aliran modal jangka masa pendek yang kebanyakannya mudah meruap meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 1980-an, dan sekarang jumlah kasarnya mencatat lebih daripada AS$2 trilion.
Jumlah pelancong yang melawat negara lain juga meningkat dua kali ganda antara 1980 dan 1986, daripada 260 juta kepada 590 juta pelancong setahun dan tentunya kerana teknologi yang lebih baik dan murah, manusia berhubung lebih kerap dan lebih lama. Masa yang dihabiskan untuk panggilan telefon antarabangsa melonjak daripada 33 bilion minit pada 1990 kepada 70 bilion pada 1996. Namun belum mengambil kira kesan e-mel dan Internet.Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada perkembangan-perkembangan itu. Pertumbuhan ekonomi sejak hampir sedekad yang lalu dibantu oleh banyaknya aliran FDI ke dalam ekonomi negara.
Tanpa ekonomi terbuka negara Malaysia tidak dapat menarik pelaburan penting dalam bidang seperti pembuatan, minyak dan gas, serta dalam sektor teknologi tinggi berintensifkan modal. Pelaburan-pelaburan ini membantu ekonomi negara pulih daripada krisis kewangan Asia apabila keadaan pasaran global membolehkan Malysia membebaskan diri daripada kegawatan.
Malaysia juga menerima akibat kerana menjadi pemain yang aktif dalam ekonomi dunia global yang semakin saling bergantung sifatnya. Krisis kewangan Asia adalah kesan langsung pasaran modal global yang terlalu cepat liberal. Pada tahun 1990-an, apabila negara di rantau ini termasuk Malaysia menarik pelaburan, kita tidak terlalu ambil berat sama ada ia jangka panjang atau jangka pendek. Bersama negara-negara jiran, Malaysia membenarkan modal asing membeli kilang-kilang dan mengambil pekerja tempatan dan membenarkan mereka melabur dengan banyaknya dalam pasaran saham dan hartanah.
Hari ini Malysia juga berdepan dengan ancaman yang dibawa bersama oleh globalisasi ekonomi. Oleh kerana penggantungan kepada ekonomi AS sebagai pasaran eksport dan rakan perdagangan dan pelaburan utama dan Malaysia berdepan dengan kejatuhan teruk ekonomi AS.
Masa depan di AS serta ekonomi Jepun yang nazak memaksa kerajaan untuk menyusun semula harapan ekonomi untuk tahun ini dan bersedia untuk suntikan tambahan kerajaan bagi merangsang pelaburan dan perbelanjaan domestik. Hal ini menunjukkan bahawa dalam ekonomi dunia yang saling bergantung dan berkait rapat, tidak dapat mengasingkan diri daripada apa yang berlaku. Sama ada suka atau tidak, dan sama ada kita boleh mengawalnya atau tidak, perkembangan di seluruh dunia akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Globalisasi juga membawa bersamanya jurang perbezaan dan ketidakseimbangan yang ketara. Kelihatan seolah-olah yang kaya mendapat manfaat lebih daripada yang miskin.
Menjelang 1997, jurang pendapatan antara satu per lima penduduk dunia di negara-negara kaya dan satu per lima yang tinggal di negara miskin adalah 74 kepada 1, meningkat daripada 60 kepada 1 pada 1990 dan 30 kepada 1 pada 1960. Menjelang akhir 1990-an, satu per lima daripada penduduk yang tinggal di negara berpendapatan tinggi mempunyai 86 peratus daripada KDNK dunia - lima peratus yang di bawah memiliki hanya 1 peratus.
Ketidakseimbangan dan jurang dalam pendapatan dan peluang ini terus meningkat, dan kita sekarang sedang melihat kemunculan jurang digital antara penduduk yang mempunyai akses kepada IT dengan mereka yang tidak. Globalisasi yang sepatutnya menjadi sesuatu yang positif kepada semua negara yang seharusnya mendapat manfaat daripada pasaran bebas, liberalisasi, pembatalan kawal selia dan perubahan teknologi, telah gagal untuk meningkatkan taraf kehidupan majoriti penduduk dunia.
Dalam konteks ini, globalisasi sangat memerlukan nilai-nilai kemanusiaan. Peluang dan manfaat globalisasi perlu dikongsi dengan lebih luas dan saksama. Sekiranya tiada apa dilakukan bagi menangani jurang yang luas ini, globalisasi akan menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan manusia. Pasaran modal antarabangsa yang tidak terkawal yang menjerumuskan ekonomi Asia meninggalkan kesan sosioekonomi yang sukar dipulihkan. Kesannya, kestabilan politik yang menjadi kebanggaan rantau Asia Tenggara tidak boleh lagi dipandang ringan. Kekurangan global begitu meluas sehingga saya bimbang di sesetengah rantau, masalah-masalah ini seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meletus tetapi tidak diendahkan oleh mereka yang kaya dan berkuasa.